Friday, July 15, 2011

NICE: Travelog Generasi Pengamal Perubatan

Dr. Abdul Basit Abdul Rahman - Konsep Perubatan Islam

Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Tidak ada satu bidang pun yang boleh lari daripada cara hidup Islam. Malah, menurut Muslim, Salman al-Farisi pernah ditanya:

“Adakah Nabimu mengajar kepadamu mengenai semua perkara termasuk yang berkaitan dengan aspek membuang air besar?”

Salman menjawab, “Ya, Baginda Nabi melarang kami menghadap kiblat semasa membuang air besar dan kecil. Baginda juga melarang kami membersihkan najis selepas membuang air dengan menggunakan tangan kanan atau kurang daripada tiga biji batu. Nabi juga melarang kami menggunakan najis dan tulang.”

NICE

Pada 7-10 Julai 2011 yang lalu, saya sempat menyertai National Ibnu Sina Conference & Community Engagement 2011 (NICE) di Kem Kijang, Kelantan anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Apa yang boleh dipetik daripada program ini adalah program ini berjaya menyuntik para peserta dengan pendedahan konsep perubatan Islam yang sebenar dan pendedahan isu-isu feqah perubatan yang selalu diabaikan oleh pengamal perubatan masa kini (tidak kira bidang Perubatan, Farmasi atau Pergigian).


Kami sempat berkunjung ke rumah pesakit di Dun Kota Lama, Kota Bharu.

Apakah Itu Perubatan Islam?


اسلام يعلوا ولايعلى عليه
“Islam itu tinggi (amat mulia) dan tiada lagi yang dapat mengatasinya” [HR Al-Bukhari]

Seperti semua sedia maklum, ilmu itu sendiri dibahagikan kepada Ilmu Fardhu Ain & Fardhu Kifayah, dan ilmu Fardhu Kifayah itu pula dibahagikan kepada Kifayah Syariah & Kifayah Bukan Syariah. Setiap kali istilah ‘PERUBATAN ISLAM’ dilafazkan, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita adalah perubatan yang menggunakan air jampi ruqyah, bacaan doa ruqyah dan sebagainya.

Tetapi, konsep perubatan Islam yang sebenar adalah segala jenis kaedah perubatan moden/alternatif masa kini tidak kira di hospital, klinik, atau di farmasi selagi mana tidak melanggar syariat Islam, kerana ‘wujudnya’ Islam itu berada dalam semua bidang.

Perubatan Islam tidak hanya menekankan penyakit-penyakit fizikal, malah perubatan Islam juga mementingkan pengubatan jiwa manusia.

Ustaz Fauzi Yusoh - Isu-isu Terpilih Dalam Feqah Perubatan

“Apabila kita merawat pesakit itu biarlah rawatan yang boleh membawa ke Syurga Allah”, kata Ustaz Fauzi Yusoh dalam ceramah beliau dalam NICE yang lepas.

Secara logiknya, rawatan yang hanya mementingkan rawatan fizikal hanya sihat dari segi fizikal, tetapi rosak jiwa dan pemikiran jika tidak mengubat secara rohani (yakni merawat dengan cara sebenar).

Al-Syeikh Walid Muhammad Nuruddin telah menggariskan isu-isu feqah perubatan semasa:
1) Sentiasa bertaqwa
2) Ikhlas
3) Lemah-lembut
4) Berusaha mengenal penyakit
5) Sentiasa berdoa
6) Menjadi contoh teladan kepada rakan & pesakit
7) Tidak tumpukan kepada ilmu kedoktoran sahaja, malah perlu tahu ilmu feqah & tasawuf
8) Tidak berkhalwat dengan pesakit, serta doktor wanita hendaklah beriltizam dengan sifat malu


Sumber Hukum Yang Sah [1]


Secara dasarnya, sumber hukum bagi perubatan Islam adalah Al-Quran & Sunnah dan keduanya disokong dengan pendekatan yang diizinkan seperti Ijmak, Kias & Ijtihad.

Ijmak – Kesepakatan hukum dalam kalangan ulama’ berhubung sesuatu isu.

Kias –
Perbandingan, mengeluarkan sesuatu hukum dengan cara membandingkan perkara yang belum pasti hukumnya dengan satu hukum yang sudah pasti berdasarkan Al-Quran & Sunnah.


Ijtihad –
Kesungguhan menentukan hokum menggunakan kaedah-kaedah yang diambil daripada Al-Quran & Sunnah. Ini diharuskan dalam perkara yang tidak jelas hukumnya kerana dalil-dalil mengenainya mempunyai kesamaran.


Segala tindak-tanduk rawatan pengamal perubatan tidak boleh lari daripada 5 jenis hukum, Wajib, Haram, Sunat, Makruh & Harus.


Tidak Mahu Hipokrit, Bertambah Dosa


“Eh kamu ni doktor, bukannya Ustaz, jadi tak payahlah tegur saya sama ada saya solat atau tidak!” kata seorang pak cik kepada doktor muda yang mengambil berat mengenai ibadah pesakit.

Kita, sebagai pengamal perubatan, mahu tidak mahu tidak boleh lari daripada tuntutan Allah dalam menjadi khalifah di muka bumi ini.

ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ
نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)." [An-Naml:62]

Contoh perkara-perkara yang selalu diabaikan oleh pengamal perubatan masa kini:

1) Suasana hospital yang tidak mesra ibadah
2) Tidak mengambil berat ibadah para pesakit (cara solat ketika sakit, cara bersuci, berpuasa dan sebagainya)
3) Tidak mengambil kira hukum-hakam dalam rawatan

Kita perlu ingat bahawa orang yang paling rapat dalam berinteraksi dengan pesakit adalah pengamal perubatan itu sendiri. Jarang sekali kita dapat lihat para alim ulama’, ustaz-ustaz berlegar di hospital dan mengambil kira tentang ibadah pesakit.

Ada pun ustaz-ustaz yang menjalankan pendekatan sebegitu pasti akan dilayan nasihatnya setakat mana pesakit itu berhadapan dengan mereka, selepas kepulangan ustaz tersebut, pesakit akan melupakan dan tidak menghiraukan perkara tersebut.

Uniknya pengamal perubatan kerana segala kata-kata mereka bakal didengar dan dituruti kerana pesakit tahu kata-kata mereka ada hubung kait dengan penyakit, dan itulah lumrah manusia yang lebih ‘terjaga’ apabila bercakap mengenai kesihatan mereka berbanding dari ibadah mereka.


"Develop yourself" - kata Prof. Dr. Muhaya


Penyakit & Kesembuhan Adalah Daripada Allah


1) Tuntuan untuk berubat dalam Islam, malah segala penyakit ada ubatnya kecuali penyakit tua

Dari Usamah bin Syarik RA, bahawa beliau berkata:
"Aku pernah di sisi Rasulullah SAW lalu datanglah sekumpulan arab dusun. Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, bolehkah kami berubat? ."

Baginda menjawab, “Ya, wahai para hamba Allah berubatlah. Ini kerana Allah `azza wa jalla tidaklah meletakkan sesuatu penyakit melainkan meletakkan pula ubatnya, kecuali satu penyakit."

Mereka bertanya, "Penyakit apakah itu? ."
Baginda menjawab, "Penyakit ketuaan." [2]



2) Segala penyakit ada ubatnya bagi mereka yang tahu.

Dari Ibnu Mas'ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَمْ يَنْزِلْ دَاءً إِلاَّ وَأَنْزَل لَهُ دَوَاءً، جَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ وَعَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ

"Sesungguhnya Allah `azza wa jalla tidaklah menurunkan sesuatu penyakit melainkan menurunkan pula ubatnya. Ubat itu diketahui oleh orang yang boleh mengetahuinya dan tidak diketahui oleh orang yang tidak boleh mengetahuinya." [3]




3) Sakit dapat menghapuskan dosa.
Abdullah bin Mas‘ud RA, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيْبُهُ أَذًى مِنْ مَرَضٍ فَمَا سِوَاهُ إِلاَّ حَطَّ اللهُ بِهِ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا

“Tidaklah seorang muslim ditimpa gangguan berupa sakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya” [4]


4) Sihat bukan sebab ubat, tetapi sebab Allah yang sihatkan.

Jabir RA membawakan hadith dari Rasulullah SAW:


لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Setiap penyakit ada ubatnya. Maka bila ubat itu mengenai, penyakit akan sembuh dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala.”[5]



Akhirulkalam


Saya syorkan agar sahabat-sahabat membeli Kitab Fikah Perubatan terbitan PTS Millenia Sdn Bhd dengan kerjasama PAPISMA. Kitab ini mengupas Konsep Perubatan Islam, Asas Fikah Perubatan, Hukum Berubat, Bendalir Badan Serta Bersuci, Ibadah Semasa Sakit dan lain-lain.

Adapun kitab-kitab lain adalah seperti At-Tibb an-Nabawi tulisan Ibnu Qayyim Al-Jauziah terbitan JASMIN, serta kitab Perubatan Islam & Bukti Sains Moden tulisan Dr. Danial Zainal Abidin.

Rujukan:

[1] –Perubatan Islam & Bukti Sains Moden, Dr. Danial Zainal Abidin
[2] - (HR. Ahmad, Al Bukhari dalam Al-Adabul Mufrod, Abu Dawud, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi, beliau berkata bahawa hadis ini hasan sahih. Syaikhuna Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i mensahihkan hadith ini dalam kitabnya Al-Jami'us Sahih mimma Laisa fish Sahihain 4/486)
[3] - (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim, beliau mensahihkannya dan disepakati oleh Adz-Dzahabi. Juga Al-Bushiri mensahihkannya dalam kitab Zawaidnya. Lihat Takhrij Al-Arnauth atas Zadul Ma'ad 4/12-13)
[4] - (HR. Al-Bukhari no. 5661 dan Muslim no. 6511)
[5] - (HR. Muslim no. 5705)

1 comments:

Mohamad Solehin (Ibnu Bakri) said...

Salam...

Good job akh...

Mohamad Solehin Bin Bakri
http://solehin-bakri.blogspot

-USM-

Post a Comment