Thursday, March 25, 2010

Indahnya Kesan Bersahabat (Kempen Biah Solehah)

Indahnya Kesan Bersahabat

Zaman remaja adalah zaman yang penuh cabaran, dan pada usia inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawalnya, apatah lagi jika kehidupan kita tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, bagaikan sebuah lautan.

Dan, sebagai seorang manusia kita tidak dapat hidup bersendirian, kerana manusia dengan sifat kurniaan Allah itu saling memerlukan.

Cuba kita fikirkan sejenak, masakan kita akan dengar ajakan rakan kita ke masjid solat berjemaah jika rakan itu rakan yang kita benci? Itulah fitrah manusia. Manusia hanya akan mendekati perkara yang mereka suka dan sayang.

Jadi,sayangi sahabat kita supaya kita sama-sama menjadi remaja yang mempunyai benteng pertahanan iman, serta akhlak yang mulia. Sebab itulah apabila mereka tiba di padang Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada Malaikat. Malah kehadiran remaja ini disambut oleh Allah dengan ucapan, “Selamat Datang wahai para remaja yang baik.”

Islam menganjurkan umatnya supaya memilih sahabat yang baik. Memilih sahabat yang baik seumpama jika kita berkawan dengan pelebur besi, maka kita pasti mendapat percikan api. Tapi jika berkawan dengan penjual haruman, maka kita pasti berbau harumannya.Bukan begitu?

Memetik kisah sahabat Rasulullah S.A.W., Abu Darda yang ternampak seorang pemuda dipukul dan dimaki secara beramai-ramai. Lalu, beliau pun bertanya, “Apa pemuda itu sudah lakukan?”. Mereka menjawab, “Dia ini seorang penjenayah dan sering melakukan dosa besar”.

Abu Darda pun tanya mereka kembali, “Jika dia jatuh ke dalam perigi, apa yang kamu lakukan?”. Mereka menjawab, “Pasti kami akan bantunya naik”.Beliau membalas, “Itulah yang sepatutnya kamu lakukan sekarang, pemuda itu sedang jatuh ke dalam lembah dosa, maka bantulah dia naik dengan nasihat dan teladan yang baik”.

Surah Fushshilat, ayat 34 ada menyebut:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ


“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik,maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”




Jadi, jika kita sayangkan rakan kita, kitalah yang bertanggungjawab menegur tingkah laku mereka yang menuju ke arah lembah dosa. Jika bukan kita yang menegur mereka, siapa lagi? Tapi, cara untuk menegur itu kenalah berhemah, pendek kata, hadapi keburukan dengan kebaikan.

Malah,Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, Hadith Riwayat Bukhari & Muslim:

"Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh naungan rahmat Allah Taala, pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya iaitu:

1. Raja (pemerintah) yang adil

2. Pemuda yang hidupnya berbuat ibadah (taat) kepada Allah

3. Lelaki yang hatinya tergantung di masjid, apabila keluar meninggalkan masjid hatinya sentiasa ingat untuk pergi ke masjid (untuk beribadah semula)

4. Dua orang yang berkasih (bersahabat) kerana Allah,

berjumpa dan berpisah kerana Allah

5. Lelaki yang mengingati (zikir) Allah seorang diri sehingga mengalirkan air mata


6. Lelaki yang digoda oleh wanita jelita mengajak melakukan maksiat, tetapi dia menolak dengan katanya: 'Bahawa sesungguhnya aku amat takut akan ALLAH yang mentadbir sekalian alam'


7. Lelaki yang bersedekah dengan ikhlas kerana ALLAH, sehingga ketika tangan kanannya memberi tangan kirinya tidak mengetahui.”


Begitu jelas sekali seperti yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Tidak mahukah kita tergolong dalam insan-insan yang kamil ini?

Inilah golongan yang tidak akan didatangkan kepanasan matahari akhirat kepadanya, walaupun matahari itu berada di atas ubun-ubun kepalanya. mereka selamat dari segala huru-hara akhirat, tidak merasa lapar dan dahaga.

Tidak berendam di dalam lautan peluh walaupun jiran sebelahnya karam di dalam peluh masing-nasing. Tidak jemu menanti keputusan mahkamah Allah walaupun orang lain keletihan menunggu beribu tahun lamanya.

2 comments:

Zawani said...

Hazwani Norrizan like this..=)

Muhasabah Diri, Hiasi Peribadi said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment